07/06/2026
[MAJLIS PENUTUP FESTIVAL LEGASI 40 PERUNDANG PERSEMBAHAN MOCK TRIAL 2026 SERPIH (4:34)]
Pada 17 Mei Berlansungnya Majlis Penutup Festival Legasi 40 Tahun PERUNDANG dan Persembahan teater Mock Trial 2026 berjudul Serpih (4:34) yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketibaan beliau disambut oleh Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FUU, Dr. Mohamad Azhan Yahya bersama barisan pengurusan fakulti dan warga FUU. Program ini merupakan kemuncak kepada pelbagai aktiviti ilmiah, profesional dan kemasyarakatan yang dianjurkan sempena sambutan 40 tahun penubuhan Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (PERUNDANG) UKM.
Antara pengisian utama majlis ialah Persembahan Teater Mock Trial karya Syahmi Khairul dan Adham Mohsin yang merupakan pengarah dan merupakan penulis skrip untuk Serpih (4:34) yang memberi pendedahan praktikal kepada para pelajar mengenai simulasi prosiding mahkamah serta aplikasi ilmu perundangan dalam situasi sebenar. Program ini mencerminkan komitmen fakulti dalam melahirkan graduan yang cemerlang dari aspek akademik serta memiliki kemahiran profesional yang relevan dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menzahirkan penghargaan kepada Fakulti Undang-Undang atas kejayaan menganjurkan festival yang menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya ilmu, profesionalisme serta jaringan antara warga akademia, alumni dan komuniti perundangan negara. Beliau turut mengalu-alukan para alumni untuk kembali menyumbang dan bersama-sama membangunkan universiti.
Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM, barisan pengurusan fakulti serta para alumni.
Penganjuran majlis penutup ini melambangkan kejayaan Festival LEGASI 40 TAHUN PERUNDANG dalam menghimpunkan warga fakulti, alumni dan komuniti perundangan, sekali gus memperkukuh legasi kecemerlangan Fakulti Undang-Undang UKM.
05/06/2026
[BELASUNGKAWA]
Dukacita dimaklumkan bahawa saudari Rania Teoni Binti Teo Ko Siong pelajar Tahun 3 Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (FUU UKM), telah kehilangan bapa tercinta pada 2 Jun 2026.
Bagi meringankan beban yang ditanggung, Jawatankuasa PERUNDANG sesi 2025/2026 akan menjalankan kutipan derma ikhlas dalam kalangan warga FUU bermula hari ini.
Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan diberkati dan dikurniakan rezeki yang berlipat ganda.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Timbalan Bendahari Kehormat PERUNDANG sehingga 12 Jun 2026.
RHB BANK
MUHAMMAD SYAHMI BIN MUHAMMAD KHAIRUL
11245760576906
RUJUKAN: Rania
Sekian, terima kasih
Sebarang pertanyaan boleh hubungi:
📱Nazira: 013-249 8487
📱Dinie: 013-7713990
05/06/2026
[PROGRAM LEX RAKYAT 2026: WARISAN SATU RUMPUN]
Bersempena dengan Legasi 40 Tahun PERUNDANG Program Lex Rakyat 2026: Warisan Satu Rumpun telah berjaya dilaksanakan pada 22 Mei 2026 (Jumaat) bertempat di Stadium Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Program anjuran Exco Sukan & Rekreasi, Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (PERUNDANG) dengan kerjasama Fakulti Undang-Undang, UKM ini telah menghimpunkan penyertaan daripada pelajar, pensyarah serta kakitangan fakulti melalui pelbagai aktiviti sukan rakyat, permainan tradisional dan perbarisan bertemakan warisan budaya.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Shahril Nizam Md. Radzi, Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Undang-Undang UKM.
Manakala, upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Dr. Mohamad Azhan Yahya, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Undang-Undang UKM.
Program ini turut menjadi platform memperkukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan antara warga Fakulti Undang-Undang merangkumi pelajar, ahli akademik dan kakitangan pentadbiran melalui penglibatan aktif dalam aktiviti yang dijalankan.
Pihak PERUNDANG merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini sama ada sebagai peserta, urus setia mahupun penyokong program.
04/06/2026
[HARI KEEMPAT FESTIVAL LEGASI 40 TAHUN PERUNDANG]
Pada 16 Mei 2026 telah berlangsungnya sebuah forum bertajuk “Tahu Apa Saman Malu, Jangan Kita yang Malu”yang disampaikan oleh Tuan Nor Azmi bin Nor Azman atau lebih dikenali sebagai Pakcik Lego.
Forum tersebut memberi pendedahan kepada para peserta mengenai isu fitnah dan implikasi undang-undangnya, khususnya dalam penggunaan media sosial. Perkongsian yang disampaikan turut meningkatkan kesedaran peserta tentang kepentingan berkomunikasi secara beretika dan bertanggungjawab dalam era digital.
Program ini melengkapkan tirai Festival Legasi 40 Tahun PERUNDANG yang telah berlangsung selama empat hari dengan pelbagai pengisian bermanfaat kepada mahasiswa dan masyarakat.
03/06/2026
[HARI KETIGA FESTIVAL LEGASI 40 TAHUN PERUNDANG]
Hari ketiga Festival PERUNDANG 40 Tahun diteruskan dengan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada perkembangan profesion perundangan serta khidmat masyarakat.
Antara program yang berlangsung ialah sesi Legal Tech Innovation: Masa Depan Keusahawanan dalam Bidang Undang-Undang yang disampaikan oleh Tuan Muhammad Naim bin Fital, peguam bela dan peguam cara daripada Messrs Naim Adib & Jailani. Sesi ini memberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi dan peluang keusahawanan dalam industri perundangan.
Turut diadakan ialah program Pengenalan kepada Klinik Latihan Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh Klinik Latihan Bantuan Guaman UKM bagi memperkenalkan peranan dan fungsi klinik tersebut kepada para peserta.
Selain itu, Forum Lindungan Kasih yang disampaikan oleh Dr. Nurul Hidayat, Pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM, berjaya menghimpunkan para remaja sekitar Bangi untuk mengikuti perkongsian berkaitan kesedaran melindungi diri dan keselamatan diri, di samping memperkenalkan Fakulti Undang-Undang UKM kepada para peserta.
Penganjuran program-program ini mencerminkan komitmen PERUNDANG dalam memperkasa mahasiswa melalui perkongsian ilmu, pendedahan profesional serta penglibatan aktif bersama masyarakat.
03/06/2026
[HARI KEDUA FESTIVAL LEGASI 40 TAHUN PERUNDANG]
Hari kedua Festival PERUNDANG 40 Tahun diteruskan dengan pelbagai pengisian yang memberi penekanan kepada pembentukan nilai integriti dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa.
Antara program yang mendapat perhatian utama ialah sesi Bicara Integriti bertajuk Integriti Bukan Pilihan: Peranan Mahasiswa Dalam Membina Masyarakat Beretika yang menampilkan Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bekas Ketua Hakim Negara serta Profesor Ikhtisas Fakulti Undang-Undang UKM dan Penyandang Kerusi Diraja Integriti dan Tadbir Urus Baik UKM. Sesi ini menekankan kepentingan integriti dalam melahirkan generasi pemimpin yang beretika dan bertanggungjawab.
Hari kedua festival turut menampilkan Forum KLBG bertajuk Memperkasa Hak OKU dalam Pendidikan dan Pekerjaan ke Arah Keadilan dan Inklusiviti Nasional yang dianjurkan bersama PERUNDANG bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan peluang golongan orang kurang upaya (OKU).
Turut berlangsung ialah Kempen Kesedaran Kanser yang memberi pendedahan mengenai kepentingan pengesanan awal dan amalan gaya hidup sihat, selain ALSA Movie Night anjuran Asian Law Students’ Association (ALSA) UKM yang mengeratkan hubungan sesama warga fakulti dalam suasana santai.
Penganjuran program-program ini mencerminkan komitmen PERUNDANG dalam melahirkan mahasiswa yang berintegriti, berpengetahuan dan prihatin terhadap isu-isu masyarakat.
02/06/2026
[HARI PERTAMA FESTIVAL LEGASI 40 TAHUN PERUNDANG]
Hari pertama Festival PERUNDANG 40 Tahun telah berlangsung dengan meriah melalui pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada warga Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Antara aktiviti utama yang berlangsung ialah karnival kerjaya Undang-Undang dan Kempen Derma Darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara.
Hari pertama festival turut diserikan dengan sesi Celik Kewangan yang dikendalikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan perancangan masa hadapan.
Selain itu, sesi Perspectives on Public Law: Essay on Fundamental Rights Roadshow yang memfokuskan topik CEDAW telah menampilkan Dato’ Seri Hishamudin Yunus, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Prof. Emeritus Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, Profesor Emeritus Fakulti Undang-Undang UKM, Kenny Lam Kian Yip, alumni FUU UKM dan rakan kongsi Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS), serta Nishooldran Ravindran, pelatih dalam kamar RDS. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu hak asasi manusia dan kesaksamaan gender dari perspektif perundangan.
Menutup tirai hari pertama festival, program Malam Kerohanian: Sinar Hati Cahaya Nurani telah diadakan dengan menampilkan Saudara Amin Idris Penceramah Selebriti sebagai penceramah jemputan. Program ini memberi ruang kepada para peserta untuk menghayati nilai-nilai murni serta memperkukuh pembangunan sahsiah dan jati diri.
Penganjuran program-program ini mencerminkan komitmen PERUNDANG dalam menyediakan platform pembangunan yang holistik kepada mahasiswa, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti dan berbakti kepada masyarakat.
02/06/2026
[MAJLIS PERASMIAN HARI TERBUKA FAKULTI UNDANG-UNDANG BERSEMPENA FESTIVAL LEGASI 40 TAHUN PERUNDANG]
Pada 13 Mei 2026, berlansungnya Majlis Perasmian Hari Terbuka Fakulti Undang-undang bersempena Festival Legasi 40 Tahun PERUNDANG.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Ahmad Nabil Azizan, Presiden Persatuan Alumni FUU UKM; Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid, Dekan FUU UKM; Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi, Pengarah HEP-UKM; Dr. Roslan Ja’afar, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM; Prof. Emeritus Dato’ Noor Aziah Mohd Awal; Dato’ Azmi Mohd Ali; Dr. Mohamad Azhan Yahya selaku Pengerusi Perundang Fest 40; serta Mohd Kamarudin Johari, Pengarah Program Festival PERUNDANG 40 Tahun.
Festival ini menjadi simbolik kepada perjalanan 40 tahun legasi PERUNDANG dalam membentuk mahasiswa undang-undang UKM yang cemerlang, berintegriti dan berdaya saing. Semoga sambutan ini terus menyemarakkan semangat warga PERUNDANG untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
01/06/2026
[PENCARIAN AHLI PERBARISAN DAN PERSEMBAHAN SAF FUU 2026]
Sukacita dimaklumkan bahawa Exco Sukan dan Rekreasi, Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (PERUNDANG) Sesi 2025/2026 kini membuka peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Undang-Undang untuk menyertai PERBARISAN DAN PERSEMBAHAN SAF FUU 2026.
📌 TARIKH : TBD
📌 MASA : TBD
📌 TEMPAT : Stadium UKM
Sehubungan itu, kami amat mengalu-alukan penyertaan pelajar yang berminat untuk bersama-sama menjayakan program ini dalam bersama-sama menghiburkan para atlet Fakulti Undang-Undang. Penyertaan anda amat penting dalam memastikan kelancaran perjalanan program serta memupuk semangat kerjasama dan semangat kesukanan seluruh warga Fakulti Undang-Undang.
📌 Pautan Kumpulan Whatsapp:
https://chat.whatsapp.com/FAe1o7lJ8K71SHNK2Oifnt?s=cl&p=i&ilr=4
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada:
📱 Fatihah : 018-7819894
📱 Feerus : 017-3510818