14/06/2026
🎼 LAWATAN KELAB SINESTRA KE DEWAN FILHARMONIK PETRONAS
Kelab Sinestra, Kolej PERMATA@Pintar Negara telah berpeluang mengadakan lawatan ke Dewan Filharmonik Petronas bagi menyaksikan persembahan istimewa “Jazz, Classical and Beyond with the MPO” yang dipersembahkan oleh Malaysian Philharmonic Orchestra di bawah pimpinan Junichi Hirokami serta menampilkan Frank Dupree sebagai pemain piano jemputan.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar terhadap persembahan orkestra profesional bertaraf antarabangsa, di samping memupuk minat, apresiasi dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap seni muzik dalam kalangan pelajar.
Pengalaman menyaksikan persembahan secara langsung ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran yang bermakna, malah memberi inspirasi kepada para pelajar untuk terus mengembangkan bakat dan potensi dalam bidang seni dan muzik.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Pengarah serta barisan pentadbir Kolej PERMATA@Pintar atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Ucapan terima kasih juga kepada para pengiring iaitu Puan Faizatul, Puan Vivi, Puan Hidayah, Encik Firdaus, Puan Zulaikha, Puan Mariati dan Cik Norsyamilah atas komitmen serta dedikasi sepanjang lawatan berlangsung.
14/06/2026
Terima kasih SinarBestari
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Zairin Zulaikha Harun, alumni Kolej PERMATA@Pintar Negara dan pelajar Sarjana Sains Perubatan, Fakulti Perubatan UKM atas pemilihan beliau sebagai duta bagi program berprestij The International Society to Advance Alzheimer’s Research and Treatment (ISTAART) di bawah The Alzheimer’s Association.
Pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kecemerlangan akademik, komitmen dalam bidang penyelidikan serta potensi kepimpinan beliau di peringkat antarabangsa, khususnya dalam usaha memperkasa penyelidikan dan kesedaran berkaitan Alzheimer’s.
Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan universiti, malah turut mengharumkan nama Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM serta Malaysia di persada global.
Semoga terus cemerlang dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus melakar kejayaan dalam bidang sains, penyelidikan dan perubatan.
Pusat PERMATApintar Negara UKM Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM Kementerian Pendidikan Malaysia Kementerian Pendidikan Tinggi
12/06/2026
Warga Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham, FASc atas pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Kebangsaan Malaysia, berkuat kuasa pada 15 Jun 2026.
Pelantikan ini merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan, kecemerlangan akademik serta komitmen berterusan beliau dalam memartabatkan pendidikan tinggi dan memperkukuh kecemerlangan UKM.
Semoga YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham terus dikurniakan kebijaksanaan dan kejayaan dalam menerajui agenda akademik dan pengantarabangsaan universiti ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang.
Tahniah dan selamat menjalankan amanah.
11/06/2026
📚SEKITAR PROGRAM MEET THE EXPERT: KETAGIHAN PORNOGRAFI & GEJALA SEKSUAL DALAM KALANGAN REMAJA
Kolej PERMATA@Pintar Negara telah berjaya menganjurkan program Meet The Expert: Ketagihan Pornografi & Gejala Seksual dalam Kalangan Remaja pada 11 Jun 2026 (Khamis).
Program yang merupakan anjuran Pusat Khidmat Kaunseling dan Psikologi, Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM ini telah disampaikan oleh Tuan Mohd Ameer Tuan Ismail, Ketua Seksyen Latihan & Kompetensi, Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Pusat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Melalui perkongsian yang informatif dan berimpak tinggi, para pelajar telah didedahkan kepada isu ketagihan pornografi, faktor-faktor yang menyumbang kepada gejala seksual dalam kalangan remaja, kesan terhadap kesejahteraan mental, emosi dan sosial, serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Program ini turut memberi ruang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara terbuka dengan pakar, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan diri, kawalan emosi dan pembentukan sahsiah yang positif dalam menghadapi cabaran dunia digital masa kini.
10/06/2026
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Puan Nurul Suzaina Joli, pensyarah Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia atas kejayaan menerbitkan artikel dalam:
📝Jurnal Indeks Web of Science (WOS) Q1. Tajuk Artikel: “Defining psychological giftedness: a reflexive thematic analysis of experts’ and counsellors’ perspectives”.
Kejayaan ini merupakan satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkukuh budaya penyelidikan serta menyumbang kepada perkembangan ilmu khususnya dalam bidang psikologi dan pendidikan pintar berbakat.
Semoga pencapaian ini terus menjadi inspirasi kepada warga akademik dan seluruh warga Pusat PERMATA@Pintar Negara untuk terus cemerlang dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
10/06/2026
Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Attiya Az-Zahra binti Muhammad Ashraf atas kejayaan terpilih mewakili Negeri Sembilan dalam acara Akuatik (Terjun) P15 ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 yang sedang berlangsung pada 8–12 Jun 2026.
Semoga terus cemerlang dan mengharumkan nama Kolej PERMATA@Pintar Negara dan Negeri Sembilan di pentas sukan kebangsaan.
Selamat Maju Jayu!
09/06/2026
♟️ TAHNIAH & SELAMAT MAJU JAYA
Warga Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada 🥇Chong Lok Phen dan 🥇 Muhamad Adnin Nuaym bin Helmy kerana terpilih untuk mewakili Negeri Selangor dalam acara Sukan Catur di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 yang sedang berlangsung pada 6 hingga 12 Jun 2026 di Miri, Sarawak.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen, disiplin dan kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik serta kokurikulum. Semoga kedua-dua wakil terus beraksi cemerlang dan mengharumkan nama Selangor serta Pusat PERMATA@Pintar Negara di pentas kebangsaan. Selamat bertanding dan semoga berjaya!
05/06/2026
Sekalung Penghargaan & Terima Kasih
Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Saifulbasri Rusli atas segala khidmat bakti, komitmen serta dedikasi yang telah dicurahkan sepanjang menjalankan tugas sebagai Penyelaras Ujian UKM3/Pemilihan Pelajar yang berakhir pada 31 Mei 2026.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah memainkan peranan penting dalam memastikan proses pemilihan pelajar berbakat dan pintar dapat dilaksanakan dengan teratur, telus serta berkesan demi kecemerlangan program PERMATA@Pintar Negara.
Semoga segala usaha dan sumbangan yang telah diberikan menjadi inspirasi serta terus membawa kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa hadapan. Terima kasih atas jasa dan pengorbanan. Selamat maju jaya!
03/06/2026
🏆 TAHNIAH & SYABAS!
Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan nasyid Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM atas pencapaian cemerlang meraih Tempat Ke-5 Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Peringkat Negeri Selangor 2026 yang telah berlangsung di Dewan Hamzah, Klang.
Pencapaian ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan memandangkan pasukan telah berjaya bersaing dengan sekolah-sekolah terbaik dari seluruh Negeri Selangor. Komitmen, disiplin, semangat berpasukan serta kesungguhan para pelajar dalam mengangkat seni nasyid sebagai medium dakwah dan pembentukan sahsiah wajar diberikan penghargaan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada barisan penasihat dan pembimbing yang telah mencurahkan masa, tenaga dan kepakaran dalam memastikan pasukan memberikan persembahan terbaik, iaitu Cik Nadzirah binti Norudin, Puan Vivi Octovia Marinu@Nicholas, Cik Nor Syamilah binti Md Zin, Puan Nurul Syuhada binti Shuib dan Encik Muhammad Khairi bin Sujud.
Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang penyertaan pasukan dalam pertandingan ini.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan dan mengharumkan nama Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.
03/06/2026
🏆 TAHNIAH & SYABAS!
Alhamdulillah, sekalung tahniah diucapkan kepada Al-Abqariy, pasukan nasyid Kolej PERMATA@Pintar Negara atas kejayaan merangkul Johan 🏆 dalam Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Peringkat Daerah Hulu Langat 2026 yang telah berlangsung di SMK Bandar Baru Bangi.
Kejayaan ini merupakan hasil dedikasi, disiplin dan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan para pelajar serta bimbingan berterusan daripada barisan penasihat yang sentiasa komited membentuk bakat dan potensi pelajar dalam bidang seni dakwah dan kebudayaan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada barisan penasihat pasukan iaitu Cik Nadzirah binti Norudin, Puan Vivi Octovia Marinu@Nicholas, Cik Nor Syamilah binti Md Zin dan Puan Nurul Syuhada binti Shuib atas segala tunjuk ajar, sokongan dan usaha yang dicurahkan sehingga membolehkan pasukan ini mencapai kejayaan yang membanggakan.
Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga PERMATA@Pintar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang serta mengharumkan nama institusi di pentas yang lebih tinggi.