26/05/2026
Salam Aidiladha 1447H
Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan kepada seluruh warga SK Danau Kota 2.
Semoga hari yang penuh keberkatan ini mengingatkan kita akan erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan segala amal ibadah dan pengorbanan yang dilakukan diterima serta diberkati-Nya.
Semoga Aidil Adha membawa kebahagiaan, ketenangan, kesihatan yang baik serta mengeratkan lagi ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam keluarga dan warga sekolah.
Salam Aidil Adha,
Maaf Zahir dan Batin.
Daripada:
Puan Azian Binti Mat Abu
Guru Besar & Barisan Pentadbir
SK Danau Kota 2
21/05/2026
MAKLUMAN CUTI PERSEKOLAHAN PERTENGAHAN TAHUN 2026
Salam sejahtera & salam muhibah kepada semua ibu bapa/ penjaga murid SK DANAU KOTA (2).
🔖 Dilampirkan surat makluman cuti & poster untuk rujukan tuan/ puan.
🔖 Sekolah akan beroperasi semula pada 8 JUN 2026 (ISNIN).
🔖 Murid-murid diingatkan agar menggunakan masa cuti ini dengan bermanfaat dan sentiasa menjaga kesihatan serta keselamatan diri.
🕋✨Pihak sekolah mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada ibu bapa/ penjaga & murid-murid yang meraikannya. Semoga Hari Raya Aidiladha yang disambut membawa keberkatan, ketenangan serta mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturahim. 🕋✨
Hati-hati di jalan raya dan selamat bercuti!
Terima kasih.
16/05/2026
Selamat Hari Guru diucapkan kepada seluruh warga pendidik SK Danau Kota (2) yang hebat dan dedikasi serta semua guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, membimbing dan membentuk anak bangsa dengan penuh kasih sayang dan dedikasi.
Sesungguhnya, tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi mendidik dengan hati yang ikhlas dalam menghadapi dunia pendidikan yang semakin mencabar.
Di sebalik setiap kejayaan murid, terselit pengorbanan, kesabaran dan kecekalan seorang guru yang sentiasa berusaha membina generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan tanpa mengenal penat lelah demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik.
Semoga setiap ilmu yang disampaikan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan setiap langkah para guru sentiasa diberkati serta dipermudahkan oleh Allah SWT.
“Guru Bitara Nadi Negara”
14/05/2026
📩Kutipan Sumbangan PIBG Sesi Akademik 2026
Kepada : Semua ibu bapa/penjaga SKDK(2)
1. Ibu bapa/penjaga boleh mula membuat bayaran tahunan sumbangan PIBG yang berjumlah RM100.00 bagi setiap keluarga.
2. Pembayaran boleh dibuat secara tunai kepada guru kelas anak masing-masing, pindahan wang (transfer ke akaun pibg) atau menerusi aplikasi herepay
3. Untuk pembayaran secara Herepay, pembayaran dilengkapkan melalui pautan dibawah :
https://app.herepay.org/pibg_skdk-2/sumbanganpibg_2026
4. Sila hantar bukti pembayaran kepada guru kelas anak masing-masing untuk catatan.
5. Sumbangan tuan/puan sangat bermakna untuk tujuan kecemerlangan akademik, pembangunan hal ehwal murid, penyelenggaraan dan kesihatan serta kecemerlangan kokurikulum.
Terima kasih kepada ibu bapa yang telah membuat bayaran sumbangan PIBG.
13/05/2026
📢 MAKLUMAN PROGRAM LATIHAN TUNAS BAKAT (OLAHRAGA / MULTI-SPORTS) SK DANAU KOTA 2 📢
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dimaklumkan bahawa pihak sekolah akan melaksanakan Program Latihan Tunas Bakat (Olahraga / Multi-Sports) mengikut jadual seperti dalam poster yang dilampirkan.
🕡 Masa Latihan:
6.30 pagi – 7.30 pagi
Program ini bertujuan untuk:
✅ Menggalakkan murid hadir awal ke sekolah
✅ Membudayakan gaya hidup aktif dan sihat sebelum sesi pembelajaran bermula
✅ Membina stamina, kekuatan fizikal dan daya tahan murid
✅ Memupuk disiplin diri, semangat kerjasama dan ketahanan mental
✅ Mencungkil bakat murid dalam bidang sukan dan olahraga
Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat akan dijalankan seperti latihan kelajuan, ketangkasan, kekuatan, daya tahan serta permainan multi-sukan yang sesuai dengan perkembangan murid.
Pihak sekolah berharap ibu bapa dapat memberikan sokongan dengan memastikan anak-anak hadir awal ke sekolah dan menyertai program ini secara konsisten demi melahirkan murid yang cergas, berdisiplin dan berdaya saing.
“Badan Cergas, Minda Cerdas”
Sekian, terima kasih.
Unit Kokurikulum & Sukan
SK Danau Kota 2
12/05/2026
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Warga SK Danau Kota 2 dengan penuh rasa bangga dan syukur merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan LC Hitter Softball SKDK2 atas kejayaan cemerlang meraih Naib Johan (Tempat Kedua) dalam Kejohanan Sofbol MSSWPKL 2026 yang berlangsung dari 6 - 12 Mei 2026 di SMK Taman Bukit Maluri.
Kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih, disiplin tinggi, semangat berpasukan serta komitmen semua pemain, jurulatih dan guru pengiring yang sentiasa berusaha mengharumkan nama sekolah di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada:
🏆 Nur Ainun Mardhiah binti Muhamad Hafiz
atas kejayaan menerima anugerah Best Batter P12 MSSWPKL 2026.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga SKDK2 untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang sukan dan kokurikulum.
“Berjaya Kerana Usaha”
Sekalung penghargaan kepada semua ibu bapa, guru dan warga sekolah yang sentiasa memberikan sokongan dan doa buat pasukan LC Hitter SKDK2.
Ikhlas daripada,
Warga SK Danau Kota 2
11/05/2026
DOA KEJAYAAN PASUKAN LC HITTER SK DANAU KOTA (2)
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sama-sama kita memberikan sokongan dan doa buat Pasukan LC Hitter SK Danau Kota (2) yang telah berjaya melangkah ke peringkat akhir Kejohanan Softball MSSWPKL 2026 yang akan berlangsung pada 12.05.2026 jam 8.30 pagi di SMK Taman Bukit Maluri.
Tahniah dan syabas diucapkan atas semangat juang, disiplin serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pemain dan guru pembimbing sepanjang kejohanan berlangsung.
Semoga pasukan LC Hitter SKDK2 terus diberikan:
✨ Kekuatan dan ketenangan semasa perlawanan
✨ Semangat berpasukan yang tinggi
✨ Kesihatan dan keselamatan sepanjang kejohanan
✨ Serta kejayaan cemerlang membawa nama SK Danau Kota (2)
“Ya Allah, kurniakanlah kejayaan, permudahkan urusan dan berikanlah kekuatan kepada pasukan LC Hitter SKDK2 dalam menghadapi perlawanan akhir.
Semoga segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil yang membanggakan. Aamiin.”
Selamat berjuang buat semua pemain dan guru pembimbing.
!
! 🥎🏆
08/05/2026
MAKLUMAN KEPADA IBU BAPA / PENJAGA
MURID SK DANAU KOTA (2)
Dimaklumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan struktur berbumbung di kawasan laluan hadapan sekolah sedang dijalankan oleh pihak DBKL.
Sehubungan itu, ibu bapa / penjaga dimohon agar:
• Sentiasa berhati-hati ketika menghantar dan mengambil anak-anak di kawasan sekolah.
• Mematuhi arahan keselamatan dan laluan yang telah ditetapkan buat sementara waktu.
• Memberi kerjasama bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan keselamatan semua murid terjamin.
Pihak sekolah memohon agar semua pihak dapat mengalihkan kenderaan yang memarkir pada kawasan tersebut pada waktu kemuncak (pagi & petang) agar dapat memberi laluan kepada ibu bapa / penjaga menurunkan anak2 ke sekolah serta pada waktu mengambil anak pulang dari sekolah.
Segala kesulitan amat dikesali dan kerjasama daripada semua pihak amat dihargai demi keselamatan anak2 SKDK2.
Sekian, terima kasih.
AZIAN BINTI MAT ABU
GURU BESAR
SK DANAU KOTA (2)