Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik UMPSA

Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik UMPSA

Share

A platform for current information from Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, UMPSA

This page aims to share current news and information regarding our faculty to the public.

11/06/2026




Tahniah Ts. Dr. Nurul A’in Binti Nadzri

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Ts. Dr. Nurul A’in binti Nadzri, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), atas pengiktirafan sebagai Ikon Alumni Inspirasi UMPSA.

Pengiktirafan ini diberikan atas kecemerlangan beliau dalam bidang akademik, penyelidikan serta sumbangan berimpak tinggi kepada industri dan pembangunan pelajar. Sebagai alumni UMPSA sehingga peringkat Ijazah Kedoktoran dalam Kejuruteraan Elektrik, beliau membuktikan bahawa kecemerlangan dapat dicapai melalui komitmen berterusan terhadap ilmu, inovasi dan pembangunan profesional.

Kejayaan ini turut diserlahkan melalui pelbagai pencapaian di peringkat antarabangsa, penglibatan aktif dalam inovasi industri serta pengiktirafan menerusi pensijilan profesional dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan keselamatan industri.

Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga UMPSA, khususnya generasi pelajar dan alumni untuk terus mencipta kecemerlangan serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.

Inspirasi Alumni, Kebanggaan FTKEE, Kebanggaan UMPSA.

11/06/2026




IKON INKLUSIF NIK MUHAMMAD SYAHMI NIK SHUKRI (TB24018)

Pengiktirafan ini diberikan kepada Saudara Nik Muhammad Syahmi bin Nik Shukri atas kecemerlangan dalam kepimpinan dan advokasi inklusif serta usaha memperkasa komuniti OKU di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Ini dibuktikan melalui penglibatan dalam program antarabangsa, peranan sebagai Presiden Kelab DAMAi UMPSA serta pelantikan sebagai Wakil Kebangsaan Majlis Belia OKU Malaysia, sekali gus menjadikan beliau inspirasi dalam pembangunan komuniti inklusif.

Photos from Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik UMPSA's post 11/06/2026




Program SULAM “Bright Circuits” FTKEE Perkasa Pendidikan STEM Murid SJK(C) Pekan

PEKAN, 19 Mei 2026 – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh usaha memperkasakan pendidikan STEM melalui pelaksanaan Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan “Bright Circuits: SULAM Program on Basic Electrical Circuits and Interactive STEM” di SJK(C) Pekan, Pahang.

Program yang melibatkan seramai 82 pelajar kursus BEL1123 Circuit Analysis I (Seksyen 01 dan Seksyen 02) ini telah memberi manfaat kepada 101 murid Tahap 2 (Tahun 4 hingga Tahun 6) serta 10 orang guru pengiring melalui pelbagai aktiviti pembelajaran STEM yang interaktif dan berasaskan pengalaman. Bagi menjayakan program tersebut, pelajar dan jawatankuasa pelaksana telah bergerak ke SJK(C) Pekan menggunakan dua buah bas dan sebuah van UMPSA, mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong aktiviti pembelajaran berasaskan komuniti.

Program ini diketuai oleh Ts. Dr. Nurhafizah Abu Talip @ Yusof selaku Pengarah Projek dan Penyelaras Kursus BEL1123 Circuit Analysis I, dengan kerjasama Professor Ts. Dr. Hamzah Ahmad selaku pensyarah Seksyen 02. Program turut mendapat sokongan daripada ahli projek yang terdiri daripada Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Shaiful Abdul Karim, Dr. Suliana Ab Ghani, Dr. Rosdiyana Samad, Puan Salmiah Salim, Encik Mohd Shamsul Azmi Samsudin dan Encik Mohd Azlan Sayuti.

Program SULAM ini merupakan sebahagian daripada penilaian kursus BEL1123 Circuit Analysis I yang menyumbang sebanyak 20 peratus markah penilaian berterusan pelajar. Melalui tugasan ini, pelajar dikehendaki mengaplikasikan teori analisis litar, reka bentuk, simulasi dan pembangunan prototaip bagi menghasilkan aktiviti STEM yang sesuai untuk komuniti sekolah. Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif SULAM UMPSA yang telah mendapat kelulusan Jawatankuasa SULAM Universiti serta menerima peruntukan sebanyak RM2,000.

Walaupun tugasan akademik yang diberikan melibatkan konsep kejuruteraan yang kompleks, kandungan yang dibawa ke sekolah telah disesuaikan mengikut tahap pemahaman murid sekolah rendah. Fokus utama aktiviti adalah memperkenalkan konsep asas elektrik seperti fungsi bateri, wayar, suis, LED, litar siri dan litar selari melalui pendekatan yang mudah difahami, menyeronokkan dan berasaskan fenomena sains yang boleh diperhatikan secara langsung.

Salah satu keunikan program ini ialah kerjasama erat antara UMPSA dan pihak SJK(C) Pekan dalam merancang kandungan pembelajaran yang sesuai dengan tahap murid. Sebelum program dijalankan, pihak sekolah telah menyediakan set soalan pra dan pasca penilaian berdasarkan silibus murid Tahap 2. Soalan-soalan tersebut kemudiannya disusun dan diintegrasikan ke dalam aktiviti program bagi memastikan kandungan yang disampaikan benar-benar selaras dengan tahap pemahaman murid.

Program bermula dengan sesi pra-penilaian dan aktiviti ice breaking yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar UMPSA sebelum diteruskan dengan sesi pengenalan teori asas elektrik, demonstrasi projek serta aktiviti interaktif bersama murid.

Program ini turut melibatkan pelajar Bachelor of Electrical Engineering (BEL), termasuk pelajar yang mengikuti laluan program dwi-ijazah UMPSA–Beijing Jiaotong University (BJTU). Penglibatan pelajar daripada latar belakang pengajian yang pelbagai ini telah memperkayakan pelaksanaan aktiviti, khususnya melalui penggunaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin semasa sesi bersama murid. Pendekatan trilingual ini membantu melancarkan komunikasi dengan murid SJK(C) Pekan serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih mesra, inklusif dan berkesan.

Bagi memastikan interaksi yang lebih berkesan, 82 pelajar UMPSA telah dibahagikan kepada 21 kumpulan fasilitator yang terdiri daripada tiga hingga empat orang pelajar bagi setiap kumpulan. Mereka ditugaskan membimbing 21 kumpulan murid yang menggabungkan murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 dalam satu kumpulan. Pendekatan ini menggalakkan pembelajaran secara kolaboratif antara murid pelbagai peringkat umur serta memberi peluang kepada setiap peserta berinteraksi secara lebih dekat dengan fasilitator.

Dalam sesi utama program, murid-murid diperkenalkan kepada konsep asas elektrik sebelum diberi peluang meneroka pelbagai projek yang dibangunkan oleh pelajar UMPSA. Antara projek yang dipamerkan termasuk sistem lampu rumah, lampu kecemasan, lampu isyarat (traffic light system), kereta mini elektrik, permainan berasaskan litar elektrik serta pelbagai demonstrasi kreatif yang menunjukkan aplikasi konsep elektrik dalam kehidupan seharian.

Selepas sesi penerangan di stesen masing-masing, murid diberi peluang bergerak ke stesen lain bagi meneroka projek yang dibangunkan oleh kumpulan pelajar UMPSA yang lain. Pendekatan station-based learning ini membolehkan murid memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh serta melihat pelbagai aplikasi STEM dalam satu program.

Program turut diperkaya dengan aktiviti hands-on STEM Assembly, di mana murid berpeluang memasang kit STEM dan meneroka konsep penjanaan tenaga elektrik secara praktikal. Aktiviti ini membolehkan murid memahami bagaimana pergerakan mekanikal boleh menghasilkan tenaga elektrik untuk menyalakan mentol LED, sekali gus memperkenalkan konsep tenaga boleh diperbaharui secara lebih menarik dan mudah difahami.

Suasana program menjadi lebih meriah menerusi sesi kuiz interaktif Kahoot yang mengandungi 40 soalan. Antara detik yang paling mencuri perhatian ialah apabila tiga soalan terakhir dikemukakan dalam Bahasa Mandarin, mewujudkan suasana yang menyeronokkan apabila murid dan fasilitator bersama-sama berusaha mencari jawapan yang tepat.

Program diakhiri dengan sesi pasca-penilaian, majlis penutup yang disempurnakan oleh Dr. Suliana Ab Ghani, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FTKEE, diikuti penyampaian sijil penghargaan serta hadiah kepada kumpulan terbaik.

Sebagai simbolik pengukuhan hubungan strategik antara institusi, satu sesi pertukaran Sijil Jalinan Kerjasama turut diadakan antara SJK(C) Pekan dan FTKEE, UMPSA. Sijil tersebut telah ditandatangani oleh Guru Besar SJK(C) Pekan, Puan Chang Mei Fong, dan Ts. Dr. Nurhafizah Abu Talip @ Yusof bagi mewakili FTKEE, sekali gus memperkukuhkan kerjasama dalam pelaksanaan program pendidikan STEM dan aktiviti komuniti pada masa hadapan.

Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak SJK(C) Pekan melalui sumbangan kit STEM bernilai RM404 yang digunakan dalam aktiviti pemasangan dan penerokaan konsep penjanaan tenaga elektrik. Kerjasama erat antara UMPSA dan SJK(C) Pekan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan STEM serta menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada murid sekolah.

Melalui pendekatan SULAM, pelajar bukan sahaja berpeluang mengukuhkan kemahiran teknikal dan komunikasi, malah dapat memupuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial sebagai bakal jurutera. Pada masa yang sama, murid sekolah mendapat pendedahan awal kepada dunia STEM melalui aktiviti yang menyeronokkan, interaktif dan berasaskan pengalaman.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur melalui usaha memperluaskan akses kepada pendidikan STEM yang berkualiti kepada generasi muda.

Photos from Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik UMPSA's post 11/06/2026




MAKMAL MINI PLANT FTKEE UMPSA TERIMA PANEL MCC DAN SDB BAHARU, PERKASA AGENDA TVET BERKEMAHIRAN TINGGI

PEKAN, 11 Jun – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melangkah setapak lagi dalam memperkasakan pendidikan TVET aras tinggi melalui penerimaan peralatan Motor Control Centre (MCC) dan Smart Distribution Board (SDB) bagi kegunaan Makmal Mini Plant, baru-baru ini.

Apa yang menarik, kesemua peralatan canggih ini diperoleh melalui inisiatif optimum peruntukan bahan usang yang diberi nafas baharu untuk tujuan latihan dan pembelajaran.

Sebagai persediaan awal, satu sesi latihan intensif telah dilaksanakan bagi memberikan kecekapan dan kemahiran praktikal kepada barisan pengajar serta staf teknikal fakulti dalam mengendalikan sistem tersebut secara mahir.

Sistem MCC dan SDB ini dilengkapi dengan tiga (3) mod pengendalian fleksibel apabila diletakkan pada kedudukan automatik (Auto) di panel SDB, iaitu:

1.Pengendalian Perkakasan (Hardware Control)
2.Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA)
3.Antarmuka Manusia-Mesin (HMI)

Inisiatif ini amat bertepatan dengan aspirasi UMPSA selaku salah sebuah universiti di dalam rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang komited memartabatkan acuan TVET berkemahiran tinggi.

Kemudahan ini bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar program Teknologi dan Kejuruteraan Teknologi bagi mendedahkan mereka kepada ekosistem industri sebenar, sekaligus melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia mendepani cabaran industri masa hadapan.

Photos from Embassy of Japan in Malaysia (在マレーシア日本国大使館)'s post 10/06/2026




Thank you very much for the sharing and great moment together 🙂

09/06/2026




SHOWCASE ON TECHNOLOGICAL AND ENGINEERING PROJECTS (STEP 2026) 🚀

Jom saksikan kreativiti, inovasi dan hasil projek pelajar FTKEE menerusi Showcase on Technological and Engineering Projects (STEP 2026) yang bakal berlangsung pada 18 Jun 2026.

Program ini menjadi platform bagi pelajar mempamerkan projek, idea dan penyelesaian kejuruteraan yang telah dibangunkan sepanjang pengajian, di samping menggalakkan budaya inovasi, penyelidikan dan pembelajaran berasaskan projek.

STEP 2026 turut membuka peluang kepada warga universiti dan industri untuk melihat sendiri potensi serta bakat pelajar dalam menghasilkan teknologi dan penyelesaian yang relevan dengan keperluan semasa.

📅 Tarikh: 18 Jun 2026

Mari bersama-sama menyokong dan meraikan kecemerlangan inovasi serta projek kejuruteraan pelajar FTKEE.

09/06/2026




TAHNIAH & SYABAS EKSA FTKEE

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Jawatankuasa EKSA FTKEE serta seluruh warga fakulti atas pencapaian membanggakan dalam Audit Dalaman EKSA UMPSA Siri 1 Tahun 2026.

FTKEE telah berjaya mencatat peningkatan ketara apabila menduduki tempat ke-8 daripada 29 PTJ, berbanding tempat ke-15 daripada 29 PTJ dalam Audit Dalaman EKSA UMPSA Siri 2 Tahun 2025. Peningkatan sebanyak 7 anak tangga ini sekali gus meletakkan FTKEE dalam kelompok 10 PTJ terbaik UMPSA.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen, kerjasama dan dedikasi berterusan seluruh warga FTKEE dalam membudayakan amalan EKSA serta mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, sistematik dan berkualiti.

Pihak FTKEE turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua staf, pelajar dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang sesi audit berlangsung.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan dan mencapai prestasi yang lebih gemilang pada masa hadapan.

📈 Siri 2 Tahun 2025: 15/29 PTJ
📈 Siri 1 Tahun 2026: 8/29 PTJ
🏆 Peningkatan 7 Anak Tangga | Top 10 Terbaik UMPSA

Photos from Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik UMPSA's post 08/06/2026




JAPAN DAY 2026 | EMPOWERING ADVANCED TVET EDUCATION 🇲🇾

Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama strategik Kedutaan Jepun di Malaysia dan Japanese Language Professional Club (JANPU) telah berjaya menganjurkan program bertaraf antarabangsa, Japan Day: Empowering Advanced TVET Education bersempena sambutan Hari TVET Negara 2026 peringkat universiti.

Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Jepun melalui perkongsian ilmu, teknologi, inovasi, budaya serta pembangunan modal insan. Selaras dengan aspirasi UMPSA sebagai Hab TVET Termaju Asia Pasifik, program ini turut mengetengahkan nilai-nilai Jepun seperti Monozukuri (ketelitian dan kecemerlangan dalam penghasilan produk) serta Kaizen (penambahbaikan berterusan) yang amat relevan dalam pembangunan pendidikan TVET masa kini.

Majlis telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMPSA, YBhg. Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias dan turut dihadiri oleh Kaunselor dan Pengarah Perkhidmatan Maklumat Kedutaan Jepun di Malaysia, Mr. Kitaoka Tatsuya, bersama wakil-wakil industri Jepun yang berkongsi pandangan mengenai pembangunan bakat, teknologi dan masa depan TVET.

Antara pengisian utama program termasuk Forum TVET Industri Jepun, pameran budaya Jepun, sesi Study & Work in Japan, lawatan makmal FTKEE, pertandingan Origami, aktiviti kebudayaan Jepun serta Faculty Engineering Expo yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, warga sekolah, industri dan komuniti setempat.

FTKEE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kedutaan Jepun di Malaysia, JANPU, panel industri, rakan strategik serta semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga jalinan kerjasama ini terus berkembang dalam memperkasa TVET, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat bertaraf global.

Photos from UMPSA Malaysia's post 08/06/2026
08/06/2026
Want your school to be the top-listed School/college in Kuala?

Click here to claim your Sponsored Listing.

Location

Telephone

Address


Universiti Malaysia Pahang Pekan Campus
Kuala
26600